BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

..... 。❤。❤。❤。❤。❤。❤。❤。 .....

.: TuAn RuMaH :.

My photo
Tetap utuh berdiri walau badai mendatang, segar dan teguh mempertahankan kesucian bak sekuntum nailofar yang mekar bekembang...^^
.:: "Wahai Anak Muda, Jika Engkau Tidak Sanggup Menahan Lelahnya Belajar, Engkau Harus Menanggung Pahitnya Kebodohan" -Pythagoras- ::.

Friday, October 29, 2010

Seni Bina Islam : Masjid Besi

            Seni merangkumi semua aktiviti dan hasil karya manusia yang indah dan berseni bagi semua kaum di seluruh pelusuk dunia. Seni sukar ditakrifkan dan terlalu sukar dinilaikan, maka seni adalah proses dan hasil pemilihan medium, set aturan untuk penggunaan medium tersebut dan set nilai yang menentukan apa yang berhak digambarkan agar ia dapat menyampaikan sesuatu perasaan, idea, kepercayaan dan rasa yang lain dengan berkesan. Dari segi makna literal, seni ialah sesuatu yang halus, indah dan permai. Dari segi istilah pula, seni ialah segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati dan perasaan manusia. Jadi, seni adalah sesuatu yang halus, indah, baik lagi suci serta bermanfaat dan mempunyai fungsi dan niali sosial. Kesenian atau seni boleh dibahagi kepada 4 bahagian iaitu ; seni suara, seni gerak, seni rupa dan permainan tradisional. Seni bina temasuk dalam golongan seni rupa dan seni bina Islam merupakan cabang kepada seni bina itu. Kesenian merupakan tunjang masyarakat melayu sejak turun temurun kerana dengan adanya kesenian ini identiti masyarakat melayu akan lebih terserlah dan dikenali umum.
Ukiran Khat di dinding Masjid
            Apabila sesuatu perkara itu dilakukan dengan sempurna ia juga dianggap seni. Contohnya seperti kejayaan di bidang kejuruteraan yang telah berjaya membina Jambatan Golden Gate, Menara Eiffel, Taj Mahal, Pejabat Perdana Menteri Putrajaya dan sebagainya. Kesemua hasil kejuruteraan ini juga dianggap sebagai seni kerana keunikan bangunannya dan keseniaan yang terdapat pada seni binanya.
Keunikan dan keasyikan seni bina itu mampu menarik perhatian masyarakat umum dan mengaguminya. Seni Bina Islam telah ditonjolkan sepanjang perkembangan sejarah Islam. Prinsip jenis dan gaya Seni Bina Islam dapat kita lihat seperti seni bina masjid, kubur, istana dan kota. Dari empat jenis ini, gaya seni bina islam telah dikembangkan dan digunakan untuk bangunan-bangunan awam yang lain seperti pancuran air, mahkamah dan pusat pentadbiran kerajaan.  Gaya Seni Bina Islam telah mula berkembang selepas kewafatan Baginda Rasulullah saw. Seni Bina Islam telah dikembangkan daripada model Seni Bina Rom, Mesir, Parsi dan Byzantine.
Seni Bina Islam jelas dapat dilihat melalui pembinaan masjid-masjid seluruh dunia samada masjid di Malaysia mahupun luar negara. Seni Bina masjid-masjid luar seperti Masjid Agung Samarra di Iraq, Masjid Shehzade, Masjid Suleiman dan Masjid Rustem Pasha merupakan mercu tanda keagungan Seni Bina Islam yang diwarisi sejak dahulu lagi. Jika di Malaysia, dapat dilihat keindahan dan keunikan seni bina Masjid Ubudiah, Masjid Putrajaya dan yang terbaru adalah Masjid Sultan Zainal Abidin. 
Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak
Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
Tinjauan mengenai sejarah Seni Bina Islam mendapati bahawa eleman air menjadi ciri utama landskap dan ia merupakan Seni Bina yang menjadi simbolik pada sungai di syurga yang telah dijanjikan oleh Allah swt kepada hamba Nya yang beriman. Hal ini telah dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 25 yang bermaksud “Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu.......”. Maka tidak hairanlah jika kita melihat Seni Bina Masjid Sultan Zainal Abidin Putrajaya atau ia juga dikenali sebagai Masjid Besi, langsung tidak terdapat penghawa dingin dan kipas di bahagian ruang solat utama. Namun begitu, jemaah yang bersolat di ruangan itu tidak akan berasa panas. Hal ini kerana terdapatnya angin sejuk yang dihasilkan  melalui dinding yang mempunyai saliran air daripada air kolam bertingkat mengelilingi bangunan itu. Saliran itu menembusi dinding telus cahaya dan penggunaan teknologi gas penyejukan udara (Gas District Cooling – GDC) telah menyamankan suasana di situ. Paras ketinggian siling di ruangan itu juga adalah setinggi 30 meter dari aras lantai menambahkan lagi suasana kedamaian dan ketenangan yang mengusik jiwa. Begitu juga dengan binaan konkrit kolam bertingkat dilihat ianya seolah-olah kelihatan seperti sebuah pulau dan mini air terjun yang melimpah dan mengalir terus ke dalam Tasik Putrajaya.
Landskap di perkarangan Masjid Besi
Pandangan hadapan Masjid Besi

Pintu Gerbang Masjid Besi
Masjid ini dikenali sebagai Masjid Besi kerana pembinaannya melibatkan kira-kira 6 000 tan keluli dan hampri 70% daripada binaannya adalah terdiri daripada besi keluli manakala selebihnya adalah konkrit batu. Masjid ini menjadi tumpuan penduduk di Putrajaya apabila Masjid Putrajaya tidak dapat menampung jumlah jemaah yang bersolat terutamanya semasa solat jumaat. Lokasinya yang terletak di tengah-tengah kementerian-kementerian kerajaan di Presint 3 Putrajaya membuatkan masjid ini telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai salah satu rumah ibadat yang diimarahkan dengan pelbagai program keagamaan.   
Keindahan Masjid Besi pada waktu malam
Selain itu, keunikan ruang solat yang terdapat di Masjid Besi itu ialah Dinding Mihrab. Pada dinding itu terdapatnya tulisan ayat-ayat suci Al-Qur’an dari surah Al-Baqarah dan surah Ibrahim yang dilakar pada panel kaca yang diimport khas dari Jerman. Panel kaca itu adalah setinggi 13 meter dan ia mampu menarik perhatian kerana tulisan kalimah suci itu seolah-olah seperti terapung di udara. Disediakan juga Kiblat Walk untuk menghubungkan Dataran Putrajaya dengan masjid itu. Kiblat Walk ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra. Di laluan Kiblat Walk  ini terdapatnya kaligrafi nama-nama Allah swt di kiri dan kanan dinding ‘Iwan Utama’ dan terdapatnya ukiran indah di ruangan laman ‘sahn’ sebelum sampai ke ruang solat utama. Ukiran ini sebagai lambang menyambut kedatangan jemaah di gerbang konkrit yang di bina menggunakan glass reinforce concrete (GRC). Tujuan penggunaan GRC adalah untuk menjadikan masjid ini kelihatan berwarna putih dari jauh.
Kiblat Walk
Laluan ke dewan solat utama
Masjid ini juga turut menggunakan seni bina jaringan wayar (Architectural Wire Mesh) atau Anyaman Mashrabiah yang diimport khas daripada Jerman dan China. Hiasan dalaman masjid ini dilatari ukiran Asma Ul Husna yang menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth. Laluan dari pintu utama menuju ke ruang solat utama pula terukir ayat suci Al-qur’an dari surah Al Isra’ ayat ke 80. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.
Anyaman Mashrabiah
Sememangnya keunikan dan keindahan Seni Bina Islam yang terdapat pada Masjid Besi ini merupakan simbol keagamaan negara kita dan masjid ini juga adalah kebanggaan umat Islam khususnya di Malaysia. Pembinaan masjid ini dan kewujudan masjid ini telah member manfaat yang cukup banyak kepada penduduk sekitar Putrajaya. Hal ini kerana masjid ini sentiasa mengadakan program-program keagamaan yang melibatkan komuniti Putrajaya secara keseluruhannya. Seni Bina Islam yang sangat unik dan cantik terutama sekali bahagian kubahnya telah menjadikan Seni Bina ini sebagai ikutan kepada masyarakat yang sukakan keindahan.      
Pandangan Kubah Masjid Besi dari dalam

0 comments: